Selangor bangkit dari ketinggalan apabila menewaskan Melaka United 3-2 di Stadium Hang Jebat.
Kedua-dua pasukan bergelut untuk menjaringkan gol sepanjang separuh masa pertama, namun Melaka terlebih dahulu mendahului menerusi sepakan penalti Stefan Nikolic dalam masa kecederaan.
Selangor menyamakan kedudukan menerusi Ifedayo Olusegun yang menyudahkan hantaran Brendan Gan di hadapan gol pada minit ke-51.
Melaka kembali di depan apabila tandukan Syamim Yahya berjaya melepasi penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid pada minit ke-59.
Selangor sekali lagi menyamakan kedudukan, sekali lagi menerusi Ifedayo yang menanduk masuk bola pada minit ke-70, hasil hantaran Mukhairi Ajmal.
88' GOL | Syahmi Safari menjaringkan gol pendahuluan Selangor!@MelakaUnitedFC 2-3 @selangorfc #LigaSuper2021 pic.twitter.com/JB2BqgFFvZ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 18, 2021
Dengan kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol kemenangan, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila sepakan Syahmi Safari berjaya memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat, menjadikan kedudukan 3-2 dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.
Selangor kini menduduki tangga ke-5 dengan 14 mata manakala Melaka berada di tangga ke-10 dengan 7 mata.
Di Kelana Jaya, Pulau Pinang sekali lagi gagal mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan dan berada di tangga kedua Liga Super apabila sekadar 1-1 menentang PJ City.
R. Vengadesan menjaringkan gol pendahuluan buat PJ pada minit ke-38, namun Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi tandukan Casagrande.
Keputusan 1-1 seri hingga tamat perlawanan, menyaksikan Pulau Pinang di tempat ke-4 liga dengan 16 mata, manakala PJ City berada di tangga ke-7 liga dengan 11 mata.