Kesemua pasukan Liga M3 tidak dibenarkan mengambil khidmat pemain dan jurulatih import bagi saingan musim 2021.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Liga M3, selepas kali terakhir FAM melarang kemasukan pemain import dalam saingan Liga Malaysia adalah pada 2009 hingga 2011.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan maklumat daripada pengarah teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee.
“Terdapat dua sebab di sebalik keputusan ini,” katanya kepada NST.
“Kami ingin jurulatih dan pemain tempatan mendapat lebih banyak peluang, dan meneruskan perkembangan dalam karier mereka di Liga Malaysia.
“Ini juga untuk memastikan bahawa Liga M3 akan menjadi platform lain untuk mencungkil jurulatih dan pemain tempatan yang berbakat ketika mereka naik ke Liga Malaysia.
“Kami juga mahukan pasukan berhati-hati dalam bajet dan perbelanjaan mereka untuk musim 2021.
“Semua orang mengalami kesulitan kerana Covid-19, jadi kami merasakan lebih baik melarang pemain asing dan jurulatih untuk mengelakkan masalah gaji yang tidak dibayar. Kami tidak mahu pemain terkesan.”
Yusoff juga mengesahkan ada pasukan Liga M3 yang telah pun mengambil khidmat jurulatih import untuk musim 2021, selain mempertimbangkan untuk mendapatkan pemain import, namun keputusan itu adalah muktamad.
“Kami ada menerima rayuan dari Armed Forces untuk membenarkan jurulatih asing mereka mengendalikan pasukan tetapi kami tegas dalam keputusan kami, dan kami telah menyampaikan keputusan kami kepada mereka.”
Liga M3 dijadualkan bermula pada bulan Jun, dengan 20 pasukan dijangka bersaing pada musim ini.
“Kami telah menerima dokumentasi pasukan untuk bertanding dalam musim 2021. Permohonan dari 14 pasukan telah diterima sementara enam pasukan lain masih dalam penilaian,” kata Yusoff.
“Masih ada tiga bulan lagi sebelum musim bermula, jadi ada banyak masa untuk pasukan membuat persiapan.”