Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] Kedah tewas di laman sendiri, Azam Azmi wira Terengganu

Terengganu bangkit daripada tiga perlawanan tanpa kemenangan apabila menewaskan pencabar terdekat Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman.

Kedah mendahului menerusi jaringan gol sendiri pertahanan Terengganu Muhammad Mohd Faudzi selepas tertampan bola hantaran Rabih Ataya pada minit ke-40.

Bagaimanapun, Terengganu menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian apabila David Da Silva menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45 setelah bola terkena tangan Ariff Farhan Md Isa dalam kotak penalti.

Terengganu meningkatkan serangan ke arah gawang gol Kedah pada separuh masa kedua dan ia akhirnya membuahkan hasil apabila pemain berusia 20 tahun, Azam Azmi Murad menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-60, dan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Namun, perlawanan itu berakhir dengan kontroversi, apabila pemain tengah Kedah, Fadzrul Danel dan pertahanan Kedah, Rodney Celvin dilayangkan kad merah kerana melakukan protes terhadap pengadil selepas mendakwa bola terkena tangan pemain Terengganu dalam kotak penalti di minit-minit akhir perlawanan.

Kedah kekal di tempat ke-2 dengan mengumpul 16 mata manakala Terengganu kembali di tempat ke-3 dengan 15 mata.

Kedah yang tewas selepas memenangi empat perlawanan berturut-turut memberi peluang kepada Pulau Pinang untuk merampas kedudukan di tempat ke-2 Liga Super jika menewaskan Sabah esok.