Liga Super Malaysia Berita

FIFA larang Melaka daftar pemain baharu bagi jendela perpindahan kedua

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Saiful Mat Sapri mengesahkan bahawa mereka telah menerima perintah larangan pendaftaran pemain bagi jendela perpindahan kedua.

Tempoh pendaftaran pertama akan berakhir pada 14 Februari 2021, manakala tempoh pendaftaran kedua akan dibuka pada 12 Julai 2021 sehingga 8 Ogos 2021.

Keputusan itu dibuat selepas Melaka gagal membayar tunggakan gaji bekas pemain import, Narupon Wild dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kami sedar dan kami akan berusaha menyelesaikannya,” katanya kepada NST.

“Walaupun tarikh akhir sudah habis, kami akan berusaha menyelesaikannya secepat mungkin. Kami akan mencari dana untuk menyelesaikan jumlah tersebut.”

Difahamkan, FAM memberikan Melaka tempoh sehingga semalam untuk melunaskan segala bayaran kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada masa sama, Saiful mengakui kekurangan penaja tahun lalu telah mempengaruhi kewangan mereka untuk musim ini.

“Bajet tahun ini telah dikurangkan sebanyak 50 peratus. Kami sedang mencari penaja. Kami membuka peluang kepada mana-mana syarikat untuk bekerjasama dengan kami.”

Musim lalu, Melaka dipotong tiga mata kerana gagal mematuhi jadual pembayaran untuk menyelesaikan tunggakan gaji.