Liga Super Malaysia Berita

Selepas Narupon, Melaka juga berhutang dengan Curran Ferns

Selepas gagal membayar pampasan gaji untuk bekas pemain import, Narupon Wild, Melaka United juga berhutang dengan seorang lagi bekas pemain, Curran Ferns.

Malah, pasukan Liga Super itu mempunyai tempoh sehingga 17 Februari untuk membayar sebanyak RM97,500.

Berbanding Narupon yang membawa kesnya kepada FIFA, Curran memfailkan aduan rasmi kepada FAM melalui Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Mereka (Melaka) berhutang dengan saya, dan tarikh akhir adalah 17 Februari,” katanya kepada NST.

“Sekiranya Melaka gagal membayar, satu-satunya hukuman yang munasabah adalah membatalkan lesen kelab mereka dan mengusir mereka dari Liga Super.”

Curran dan Narupon bertindak meninggalkan Melaka lebih awal sebelum Liga Super bersambung pada bulan Ogos tahun lalu kerana gagal membayar gaji seperti yang ditetapkan dalam kontrak mereka.

Melaka dipotong tiga mata pada awal musim 2020 kerana gagal membayar tunggakan gaji mengikut jadual yang ditetapkan.

FAM turut memberikan kelonggaran sebanyak dua kali kepada Melaka untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pada musim lalu.