Empat pemain kebangsaan dilaporkan sedang berunding dengan Kelantan FC yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini.
Malah, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata keempat-empat pemain itu menyatakan minat untuk menyertai pasukannya.
“Kami dalam peringkat perbincangan,” katanya kepada Harian Metro.
“Identiti keempat-empat mereka tidak boleh didedahkan bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.
“Proses rundingan beberapa perkara dilakukan terutamanya aspek gaji yang ditawarkan sebelum keputusan dilakukan daripada keempat-empat pemain terbabit.”
Pada masa sama, Norizam berharap proses rundingan itu berjalan lancar kerana Kelantan berkemungkinan akan menggunakan khidmat pemain muda sepenuhnya pada musim ini.
“Harap semua berjalan lancar. Sekiranya tidak berjaya mendapatkan pemain itu kami akan memberi tumpuan kepada perancangan sebelum ini bagi menggunakan sepenuhnya khidmat pemain muda yang membarisi pasukan Kelantan,” katanya.
Norizam juga mendedahkan tiga pemain import baharu dijangka tiba di Kota Bharu pada hujung bulan ini.
“Pemain import terbabit dari England, Greece dan Sepanyol dan kami yakin ketiga-tiga pemain ini mampu membantu Kelantan FC mengharungi saingan Liga Malaysia nanti.”