Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal membina sebuah pusat latihan baharu yang menyerupai bentuk lambang pasukan JDT.
Ini selepas JDT mengumumkan bahawa pembinaan pusat latihan akan dimulakan sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
“Pusat latihan yang bakal dibangunkan bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri akan memperlihatkan sebuah bangunan dua tingkat yang berbentuk jata JDT yang dikelilingi dengan beberapa padang bola sepak ‘outdoor’,” menurut Johor Southern Tigers.
“Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat pusat latihan JDT.”
Pusat latihan JDT juga akan dilengkapi kemudahan fasiliti seperti gimnasium, ruang-ruang pejabat, auditorium, pusat pemulihan, kolam renang, kafeteria, ruang makan dan padang rumput tiruan ‘indoor’.
Apabila siap dibina, pusat latihan ini akan menempatkan pasukan senior dan junior JDT.
Ia juga akan meliputi stadium mini, asrama akademi belia, dua padang sintetik ‘outdoor’ dan beberapa padang bola sepak.