Luar Negara Berita

Luqman Hakim dedah pesanan dari ketua jurulatih KV Kortrijk

Luqman Hakim Shamsudin mendedahkan nasihat yang diberikan oleh ketua jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe baru-baru ini.

Ini selepas pemain berusia 18 tahun itu terpilih dalam kesebelasan utama pasukan ketika berdepan dengan Royal Excel Mouscron.

“Meskipun hanya perlawanan persahabatan,” katanya ketika ditemubual oleh Astro Arena.

“Saya merasakan sedang beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Saya mendapat semula keyakinan dan berpuas hati dengan penampilan saya kerana telah memberikan sepenuh komitmen dalam perlawanan tersebut.”

Pada ketika itulah, Luqman mendedahkan nasihat dari Vanderhaeghe.

“Jurulatih meminta saya untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu ghairah.

“Beliau menasihatkan agar tidak terlalu memaksa diri kerana risau kecederaan akan berulang.”

Luqman juga berkata Vanderhaeghe akan memberikannya peluang bermain jika pemain muda itu terus memberi komitmen tinggi terhadap pasukan.

“Beliau berkata akan ada masa untuk saya bermain asalkan saya memberikan komitmen 100 peratus ketika sesi latihan.”

Luqman terpaksa berehat selama sebulan selepas mengalami kecederaan hamstring yang dialami pada Oktober lalu, sehari selepas membuat penampilan pertama bersama KV Kortrijk menentang RSC Anderlecht dalam saingan Jupiler Pro League.

Luqman juga mendedahkan sasaran peribadinya bagi tahun 2021.

“Saya mahu mencabar diri saya, saya mahu mencapai tahap yang lebih tinggi pada tahun 2021. Saya mahu kerap berada dalam skuad 18 terbaik selain kerap beraksi.

“Kini kecederaan hamstring saya sudah pulih sepenuhnya dan saya menjalani proses pemulihan yang baik dan pasukan perubatan memberikan bantuan 100 peratus.”