Liga Super Malaysia Berita

Sumareh akui kembali ke Malaysia, bakal sertai pasukan gergasi Liga Super?

Mohamadou Sumareh akhirnya mengesahkan beliau membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia selepas 4 bulan bersama kelab Thailand, Police Tero FC.

Ini bermakna, pemain naturalisasi negara berusia 26 tahun itu akan menyertai sebuah pasukan Liga Malaysia tidak lama lagi.

“Saya telah memutuskan untuk kembali ke Malaysia,” katanya menerusi catatan yang dimuatnaik di akaun Instagram miliknya.

“Saya yakin pengalaman saya dalam Liga Thailand menerusi Police Tero FC akan memberi manfaat yang besar.

“Ia sesuatu yang mencabar sebagaimana sebelum ini, namun ia mempersiapkan saya untuk tahun baharu 2021 dan saya sudah bersedia secara fizikal mahupun mental.”

Sumareh menyertai Police Tero FC pada 7 Sept tahun lalu, namun beliau hanya membuat empat penampilan bersama kelab itu.

Malah Police Tero memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak Sumareh yang berakhir pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun, Sumareh dipercayai telah mendapat tawaran lumayan untuk menyertai salah sebuah pasukan teratas Liga Super.