Liga Super Malaysia Berita

Isaac Angking terima tawaran rasmi tapi bukan dari JDT

Isaac Angking dilaporkan telah menerima beberapa tawaran rasmi bagi saingan musim 2021, tapi tiada satu pun datang dari juara bertahan Liga Super, JDT.

Nama pemain tengah kacukan Malaysia-Amerika Syarikat berusia 20 tahun itu disebut oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai antara pemain yang akan menyertai kelab miliknya.

Namun, ejen Isaac Angking iaitu Nicco Roffo mengesahkan walaupun ada perbincangan tetapi pihaknya masih belum mendapat sebarang tawaran rasmi.

“Saya boleh mengesahkan bahawa Isaac dan pihak JDT ada berbual mengenai perkara berkenaan namun sehingga kini tiada tawaran rasmi diterima daripada pasukan itu,” katanya kepada Harian Metro.

“Setakat ini, Isaac ada dipancing oleh beberapa kelab di Eropah dan di Amerika Syarikat namun belum memutuskan lagi mengenai perkara itu.

“Jika tiada perbincangan secara serius kemungkinan Isaac tidak akan bersama JDT untuk musim ini dan akan bermain bersama pasukan lain.”

Isaac yang dilahirkan di Providence, Rhode Island, AS menyertai kelab Major League Soccer (MLS), New England Revolution pada 2018, bagaimanapun tidak mendapat tawaran kontrak baharu untuk saingan musim 2021.

Beliau pernah mewakili AS dalam pelbagai kategori iaitu B-14, B-17 dan B-20, namun tidak terpilih untuk mewakili skuad Piala Dunia B-17.

Isaac bagaimanapun layak mewakili Malaysia memandangkan ibunya berasal dari Sarawak.