Liga Super Malaysia Berita

Faisal Halim dapat 4 tawaran, pilih Terengganu kerana Piala AFC

Faisal Abdul Halim mengakui beliau menerima sehingga empat tawaran dari pasukan Liga Malaysia selepas meninggalkan Pahang.

Namun, pemain tengah berusia 22 tahun itu akhirnya memilih untuk menyertai Terengganu kerana prospek beraksi di pentas Asia.

“Walaupun menerima empat lagi tawaran, saya pilih Terengganu,” katanya kepada NST.

“Bukan disebabkan faktor gaji, tapi teringin untuk beraksi di pentas lebih tinggi dan mengembangkan lagi karier bola sepak saya bersama Terengganu dan juga pasukan kebangsaan.

“Selain itu taktikal dan ‘game plan’ jurulatih, Nafuzi yang bagi saya mampu mengubah corak permainan juga antara sebab saya memilih Terengganu.

“Jika menjadi kenyataan, pentas Piala AFC tahun depan adalah penampilan pertama saya.”

Faisal juga berharap dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

“Saya rasa tiada masalah lagipun saya pernah bermain bersama Faiz Nasir dan Arif Fadzilah Abu Bakar.

“Saya boleh rasakan sudah pasti ada saingan sengit untuk berada dalam kesebelasan utama kerana masing-masing sudah pasti akan memperagakan aksi terbaik mereka, begitu juga pemain import.

“Tapi saya akan jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk pamer aksi terbaik sama ada ketika latihan ataupun dalam permainan.”

Faisal menandatangani kontrak dengan Terengganu sehingga 2022 dan akan menyarung jersi nombor 7 yang dipakai oleh Lee Tuck, setelah pemain import itu berhijrah ke Pahang.