Liga Super Malaysia Berita

Pelatih AMD generasi kedua sertai JDT, Selangor

Seramai 6 pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) generasi kedua menandatangani kontrak dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan 6 lagi menyertai Selangor bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bernama melaporkan, pemain-pemain itu ditawarkan kontrak antara dua dan tiga tahun setelah sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Dua pelatih AMD paling berbakat menjadi perhatian apabila Ziad El Basheer Norhisham menandatangani kontrak bersama JDT manakala Muhammad Faiz Amer Runnizar menyertai Selangor.

Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang pernah bergandingan bersama Luqman Hakim Shamsuddin di posisi serangan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 turut menyertai JDT.

“Ziad El Basheer dan Muhammad Faiz boleh dianggap bakat terbaik dalam kalangan pemain ketika ini, bagaimanapun, Muhammad Najmudin juga sepatutnya merupakan pemain terbaik tetapi disebabkan mengalami kecederaan lutut yang serius tahun lepas, dia terpaksa berehat panjang.”

Najmudin bersama seorang lagi pelatih AMD iaitu Muhammad Syukur Fariz Januri merupakan dua pemain dalam kesebelasan utama skuad B-16 Malaysia yang menewaskan Tajikistan 6-2 pada aksi kumpulan Kejuaraan B-16 AFC.

Pada masa sama, hampir kesemua 12 pelatih yang berpangkalan di Gambang, Kuantan adalah antara 18 pemain skuad B-17 negara yang beraksi pada kejohanan Piala Jenesys 2020 di Kagoshima, Jepun, Mac lalu.

Perkembangan terbaru itu meneruskan legasi pelatih AMD generasi pertama yang menyertai pasukan bola sepak terkemuka negara iaitu JDT dan Selangor.

Tahun lalu, 34 pelatih AMD menandatangani kontrak dengan 28 daripadanya menyertai Selangor.

Senarai 12 pemain generasi kedua AMD yang menandatangani kontrak bersama JDT dan Selangor:

JDT

Muhammad Haziq Ridhwan Mohd Rosli Pertahanan
Muhammad Naqiu Aiman Abdul Hadi Pertahanan
Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal Penyerang
Ziad El Basheer Norhisham Tengah
Mohammad Marwan Abdul Rahman Pertahanan
Muhammad Syukur Fariz Januri Tengah

Selangor

Muhammad Faiz Amer Runnizar Pertahanan
Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri Penjaga Gol
Abdul Afiq Hilman Abdul Halim Sayap
Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi Tengah
Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri Penyerang
Syed Zaris Irfan Syed Putra Hasdiana Faizal Pertahanan