Liga Super Malaysia Berita

Koperasi Anak Kedah, Kedah FA bincang soal kemampuan kendali pasukan

Naib Presiden Kedah FA, Khamal Idris Ali mendedahkan pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) berhubung hasrat badan itu untuk memiliki saham pasukan Kedah.

Ini memandangkan proses penswastaan kelab memerlukan pemisahan antara FA dan FC, namun Kedah FA masih belum membuat keputusan mengenai pemilikan pasukan.

Khamal mengakui, perbincangan dengan KAKB masih di peringkat awal.

“Kita dalam proses saling mengenali antara kedua-dua pihak terutamanya dari segi kemampuan dan pelbagai perkara lain,” katanya kepada Kosmo.

Bagi Penasihat KAKB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman, beliau menganggap pertemuan kali keempat bersama pengurusan Kedah FA berjalan lancar.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah jumlah hutang ditanggung persatuan, jumlah pegangan saham oleh KAKB serta peranan Kedah FA sekiranya KAKB setuju mengambil alih pasukan tersebut.”

Kedah FA masih berdepan dengan tunggakan gaji empat bulan iaitu April, Mei, Jun dan Julai. FAM memberi tempoh sehingga 31 Okt untuk melangsaikan hutang tersebut.

Kedah FA juga perlu mengemukakan carta organisasi dan CV setiap individu yang terlibat dalam persatuan bola sepak dan syarikat yang mengendalikan pasukan selewat-lewatnya pada 30 Nov ini.