Liga Super Malaysia Berita

Kedah FA mahu Sanusi kekal sebagai presiden

Persatuan Bola Sepak Kedah tetap mahu Sanusi Md Nor terus berkhidmat sebagai presiden persatuan bola sepak negeri itu.

Ini selepas Menteri Besar Kedah itu megemukakan surat peletakan jawatannya pada 25 Sept lalu, dan akan berkuatkuasa secara rasmi pada 15 Okt ini.

Naib Presiden Kedah FA, Khamal Idris Ali berkata pihaknya memahami tekanan yang dihadapi oleh Sanusi ketika ini, namun berharap dapat memujuknya untuk terus menerajui persatuan itu.

“Kita faham beliau berdepan tanggungjawab berat selaku Menteri Besar apatah lagi dengan penularan Covid-19 yang tinggi di Kedah berbanding negeri-negeri lain,” katanya kepada Kosmo.

“Namun, untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa ini, kita amat memerlukan sokongan beliau sebagai Presiden. Insya Allah perkara tersebut akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada 11 Oktober, esok.”

Sanusi dilantik sebagai presiden Kedah FA pada 12 Julai.

Beliau kemudian mendedahkan bahawa Kedah menanggung hutang RM10.5 juta, termasuk tunggakan lima bulan yang gagal dibayar oleh pengurusan terdahulu.

Bagaimanapun, Sanusi berdepan kritikan peminat apabila menukar nama pasukan Kedah kepada Darulaman FC, malah bercadang untuk menggunakan logo yang tidak dipersetujui oleh peminat Kedah.