Liga Super Malaysia Berita

Pengurusan lama dalam misi selamatkan Felda United

Walaupun Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman menjadi antara 16 kakitangan Felda United yang telah diberhentikan perkhidmatannya oleh pengurusan baharu, beliau sedang berusaha untuk mendapatkan pemilik baharu.

Ini setelah Felda membuat keputusan untuk menarik diri menerusi pasukannya Felda United daripada bersaing dalam Liga Malaysia bermula musim depan, sekali gus menjejaskan hala tuju dan masa depan pemain.

Malah, ia satu kerugian kerana Felda berjaya mendapatkan lesen kebangsaan dan lesen AFC untuk beraksi di Liga Malaysia pada musim depan.

“Secara peribadi, saya mahu menyelamatkan semua ‘anak-anak Felda’ kerana mereka masih muda, baru dalam sukan bola sepak,” katanya kepada NST.

“Bola sepak adalah masa depan mereka, pendapatan mereka. Ke mana mereka akan pergi? Ini melibatkan 130 pemain dari pasukan Piala Presiden hingga pasukan senior.”

Bagaimanapun, Afizal mengakui beliau hanya mempunyai tempoh sehingga 19 Okt untuk menyelamatkan pasukan Felda daripada terus lenyap dari muka bumi.

Malah, beliau mengakui buat masa ini mereka tidak dibenarkan menggunakan nama Felda United atau “Fighters” oleh pemilik asal, Felda.

“Kami belum memberitahu pemain dan jurulatih apa-apa kerana mereka masih ada kontrak di bawah Felda United hingga November. Ia juga bergantung kepada pemilik baharu.

Beliau juga mendedahkan isu pemilikan tersebut itu akan diselesaikan bersama MFL dan FAM, sebelum berbincang dengan pemilik baharu mengenai rancangan musim depan.

“Saya bersyukur MFL dan FAM bekerja keras membantu kami menghalang pasukan daripada tutup kedai.”

“Kami akan berusaha selewat-lewatnya pada akhir minggu depan kerana kami perlu melakukannya sebelum tarikh akhir 19 Oktober.”