Liga Super Malaysia Berita

Kedah dijenamakan kepada Darulaman FC, enggan disamakan dengan ayam goreng KFC

Keputusan Kedah FA untuk menjenamakan semula nama pasukan kepada Darulaman FC selepas proses penswastaan kelab selesai amat mengejutkan peminat bolasepak tempatan.

Malah, alasan yang dikemukakan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Sanusi Md Nor mengenai mengapa nama itu yang akan digunakan bermula musim depan ternyata mengundang kemarahan peminat Kedah.

“Bila kami fikir-fikir, Kedah Football Club akan jadi KFC, tidak mahu kita jadi ayam goreng, nak elak daripada ayam goreng kita namakan Darulaman FC,” katanya dalam sidang media.

“Kita masih guna warna yang sama, lagu yang sama, hijau kuning, kita boleh bersorak sama, logo kena lain, DFC kena ada logo sendiri lah.”

Logo baharu Kedah juga menaikkan darah peminat namun Kedah dilaporkan akan melakukan pembaharuan dengan memaparkan lambang negeri Kedah termasuk lambang bunga padi dan warna rasmi Hijau Kuning.

Dalam soal pemilikan, Sanusi akui Darulaman FC masih dibawah pengurusan Kedah FA.

Namun, Kedah FA akan menjalankan rundingan dengan beberapa pihak yang berminat dalam masa terdekat, termasuk yang mahu memiliki pasukan secara sepenuhnya.

Perkembangan terbaru ini berlaku selepas Kedah melengkapkan proses pemisahan daripada Persatuan Bolasepak (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) sebelum 30 September.