Liga Super Malaysia Berita

Koperasi Anak Kedah diminta kemuka kertas kerja pengambilalihan pasukan

Persatuan Bola Sepak Kedah sudah meminta Koperasi Anak Kedah Berhad untuk mengemukakan kertas kerja sebelum memulakan proses pengambilalihan pasukan.

Ini selepas mereka mengemukakan usul untuk memiliki 51 peratus saham dalam pasukan Kedah, iaitu menjadi hak milik penuh penyokong bermula musim depan.

Presiden Kedah FA, Sanusi Md Nor, berkata cadangan itu perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum memulakan proses pengambilalihan.

“Dalam pertemuan sebelum ini, saya tertarik dengan cadangan mereka, jadi kita minta mereka untuk sediakan kertas kerja untuk dipertimbangkan mengenai hasrat memiliki 51 peratus saham selepas kita diswastakan nanti,” katanya kepada Harian Metro.

“Namun mereka perlu hantar secara bertulis untuk saya kemukakan dalam mesyuarat KFA, sebelum ini hanya cadangan lisan.”

Sanusi juga mendedahkan terdapat dua pihak dari Australia dan UAE berminat untuk melabur dengan pasukan Kedah.

“Ada juga individu dari Dubai dan pemilik kelab bola sepak di Australia yang mahu terbabit dengan bola sepak di sini. Kita terbuka walaupun mereka mungkin masih tak boleh ke sini, masing-masing boleh nyatakan minat menerusi e-mel.

“Banyak yang mendekati kita, kita akan pertimbang cadangan yang bagus. Saya alu-alukan pihak berminat yang mahu terbabit dalam industri bola sepak, cuma buat masa ini pintu sempadan antarabangsa belum dibuka.

“Namun mereka dipelawa untuk menghantar dahulu kertas kerja untuk diteliti.”

Dalam pada itu, Sanusi sekali lagi berjanji pihaknya akan membayar gaji pemain dan kakitangan pasukan esok, malah peruntukan itu datang daripada penyumbang luar dan langsung tidak melibatkan dana kerajaan negeri.

“Kita akan membayar baki 60 peratus gaji untuk bulan Mac pada Selasa ini. Pada hari sama, kita juga akan selesaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“KFA turut membayar sebahagian tuntutan agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan membawa pasukan ke Korea Selatan bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), berjumlah RM430,000 tapi kita bayar RM100,000 dahulu kerana banyak komitmen lain.

“Insya-Allah kita akan terus selesaikan tunggakan-tunggakan lain selepas ini.”

“Saya ucapkan tahniah atas kemenangan Kedah dalam perlawanan menentang PDRM. Harap pemain terus pulun untuk menang, urusan gaji, elaun atau hutang biar KFA usahakan.”