La Liga Berita

Lionel Messi hantar surat rasmi, mahu tinggalkan Barcelona

Lionel Messi akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Barcelona, selepas 16 tahun beraksi dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Ia berlaku selepas Ronald Koeman dilantik sebagai jurulatih baharu Barcelona, selepas Quique Setien dipecat ekoran kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich dalam UEFA Champions League.

Malah, sebaik sahaja Koeman tiba di Barcelona, beliau mahu beberapa rakan sepasukan Messi meninggalkan kelab serta-merta, termasuk Luis Suarez, Arturo Vidal, Ivan Rakitic dan Samuel Umtiti.

Menurut Reuters, pengesahan itu dibuat menerusi perkhidmatan burofaks yang dihantar oleh peguam Messi dengan mesej bahawa pemain berusia 33 tahun itu mahu meninggalkan kelab.

Barcelona kemudian menghantar burofaks kepada Messi dengan mesej pihak kelab mahu beliau terus kekal dan menamatkan karier di Barcelona.

Sumber kedua Reuters memberitahu, burofaks yang dihantar oleh peguam Messi merujuk kepada klausa yang ada pada kontrak terakhir yang ditandatangani oleh Messi pada 2017, yang membolehkan beliau meninggalkan kelab secara percuma, tetapi klausa itu sudah tamat tempoh pada 10 Jun tahun ini.

Pada masa sama, Barcelona menganggap Messi masih mempunyai kontrak sehingga 30 Jun 2021.

Satu-satunya cara untuk Messi meninggalkan Barcelona adalah jika ada kelab yang mengaktifkan klausa perpindahan sebanyak 700 juta euro.

Namun bekas kapten Barcelona, Carles Puyol seolah-olah merestui pemergian Messi.

“Satu penghormatan dan penghargaan, Leo. Kamu sentiasa mendapat sokongan saya, sahabat.”

Bekas presiden Barcelona, Joan Laporta menyalahkan Josep Maria Bartomeu dan meminta beliau meletakkan jawatan.

“Bartomeu dan lembaga pengarah sepatutnya meletakkan jawatan serta-merta. Mereka sudah merendah-rendahkan kemampuan Messi untuk menyelamatkan mereka daripada masalah dalam dan luar padang.

“Kalau mereka pergi, ada kemungkinan Messi akan terus bersama Barcelona.”