Liga Super Malaysia Berita

Terengganu adakan perlawanan amal dengan Selangor

Satu perlawanan amal akan diadakan antara veteran pemain Terengganu dan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 15 Ogos ini.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Terengganu (PBPBT), Mat Sedek Wahab berkata perlawanan itu diadakan bagi mengumpul dana untuk membantu bekas pemain Terengganu, Mohd Fadali Jalil dan Rosli Ishak.

Fadali, 53, merupakan pemain pertahanan Terengganu pada 1990-an namun kini menderita masalah saraf dan jangkitan kuman akibat kencing manis.

Rosli, 59, pula beraksi sebagai penyerang pada 1980-an, namun sedang menghadapi penyakit angin ahmar.

“Persatuan terpanggil untuk membantu bagi meringankan beban dua rakan ini yang sedang terlantar sakit,” kata Sedek kepada Berita Harian.

Walaupun perlawanan tanpa penonton, peminat setia boleh menyumbang ke dalam tabung berkenaan yang diletakkan di luar stadium tempat duduk berbumbung.”

Perlawanan amal itu menarik minat sebilangan besar bekas pemain yang pernah beraksi dengan Terengganu.

Antaranya adalah Rosdi Talib, Subri Sulong, Hairuddin Omar, Nor Farhan Muhammad, Zairo Anuar Zailani, Mohd Ashari Samsudin, Marzuki Yusof dan Mohd Syamsuri Mustafa.

Bekas pemain Selangor juga tidak ketinggalan untuk membuat amal yang terdiri daripada Azman Adnan, Nizaruddin Yusof, Tengku Hazman Raja Hassan, Azrul Amri Burhan, Hardi Jaafar, Shahrin Majid, Ivan Yusof, Talib Sulaiman dan Azizon Kadir.