Liga Super Malaysia Berita

Pahang tempang

Tinggal tiga minggu sahaja lagi sebelum Liga Super bermula, namun Dollah Salleh mengakui Pahang melalui pra-musim yang kurang memberangsangkan.

Ini selepas pasukannya kehilangan sebilangan besar pemain utama disebabkan kecederaan, termasuk pemain import yang tidak dapat pulang ke Malaysia dan terpaksa bergantung kepada pemain muda.

Ia antara faktor yang menyebabkan Pahang tewas 3-0 kepada Terengganu II baru-baru ini.

“Kita sedikit kucar-kacir kerana masalah pemain cedera, ada yang keluar dan tidak datang sertai pasukan serta pemain import tidak datang. Jadi saya kelam kabut sekarang,” katanya kepada Utusan.

“Bayangkan enam ke tujuh pemain kesebelasan utama tidak dapat bermain buat saya pening kepala.

“Sekarang saya banyak bergantung kepada pemain muda dan pemain Piala Presiden. Mereka boleh bermain tetapi cuma kurang pengalaman, selain kelihatan gugup apabila diturunkan ketika berdepan pemain ternama.”

Dollah bagaimanapun berharap para pemainnya dapat mencari rentak permainan sebelum berdepan JDT pada 26 Ogos ini.

“Percaturan tidak dapat dibuat seperti dirancang tapi saya harap pemain dapat beri fokus dan serius kerana kita hanya mempunyai masa dua minggu lebih sebelum liga bermula.

“Untuk membina keyakinan mereka, kita akan adakan dua lagi perlawanan persahabatan dan ia sudah diatur namun menunggu masa yang sesuai.”