Liga Super Malaysia Berita

Selangor jalin kerjasama dengan KV Kortrijk

Selangor dilaporkan telah menjalin kerjasama rasmi dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.

Ini selepas rundingan terhadap perpindahan Luqman Hakim Shamsudin ke kelab berkenaan berjalan dengan lancar, sekali gus mengeratkan hubungan antara kedua-dua pasukan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon mendedahkan kerjasama itu membolehkan pemain akar umbi Selangor terpilih untuk pendedahan bolasepak di Belgium.

“FAS berpeluang untuk menghantar pemain muda ke Kortrijk setiap tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jika ada bakat yang baik menarik minat mereka, maka mereka akan menimbangkan latihan dan pendedahan di Belgium. Kita melihat ke hadapan dengan peluang besar sebegini.”

Pada masa sama, Johan menganggap jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner akan banyak membantu KV Kortrijk memilih pemain akar umbi Selangor yang mampu beraksi di Eropah.

“Pemilihan pemain itu sudah tentu akan melibatkan Kortrijk. Kita tidak boleh senang-senang hantar pemain ke sana. FAS hanya bagi cadangan tetapi Kortrijk yang akan tentukan.”

“Apa yang memberi kelebihan kepada kita adalah Feichtenbeiner ada pendedahan Eropah yang sangat luas.

“Belgium dan Jerman mempunyai corak kejurulatihan yang hampir sama. Jadi dari segi kepercayaan itu ada. Jika Feichtenbeiner sarankan dan kata pemain bagus, maka peluang untuk Kortrijk terima itu tinggi.”