Liga Premier Malaysia Berita

Empat lagi pemain Kuching FA positif COVID-19

Kuching FA mengesahkan empat orang pemainnya menghidapi COVID-19, beberapa hari selepas pasukan Liga Premier itu dikuarantin.

Ini setelah seorang pemain Kuching FA disahkan terkena jangkitan wabak itu, yang diperoleh ketika bertugas di Hospital Sentosa, yang kini dikenali sebagai kluster Sentosa.

Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan berkata pengesahan tersebut adalah berdasarkan keputusan ujian calitan pertama yang dilakukan pada 25 Julai lepas.

“Tiga pemain skuad senior dan seorang pemain skuad Piala Presiden yang mengikuti latihan bersama skuad utama Kuching FA disahkan positif COVID-19,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kami menjangkakan kemungkinan ada lagi penambahan kes kerana keputusan penuh hasil ujian masih belum lagi diperoleh. Ujian kedua untuk semua pemain akan bermula pada 4 hingga 6 Ogos depan.”

Perkembangan terbaru itu dikhuatiri akan menjejaskan perjalanan saingan Liga Premier yang akan bersambung pada 26 Ogos.

Malah, Kuching akan menjadi tuan rumah dalam perlawanan berdepan Selangor 2 di Stadium Sarawak.