Liga Super Malaysia Berita

Melaka United janji bayar bulan Mac dan April minggu ini

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Mohd Ashiq Abd Samad memberi jaminan bahawa pihaknya akan membayar tunggakan gaji bulan Mac dan April selewat-lewatnya minggu ini.

Beliau berkata, bayaran tunggakan gaji selebihnya akan diselesaikan sebaik saingan Liga Malaysia bermula pada 26 Ogos ini.

“Bayaran gaji akan dilaksanakan secara berperingkat dengan bayaran pertama diselesaikan dalam masa minggu ini,” katanya kepada Harian Metro.

“Sebelum ini kita berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 menyebabkan agak sukar untuk mendapatkan dana bagi menyelesaikan bayaran gaji.

“Kita mengakui terdapat tunggakan gaji yang belum diselesaikan namun tidak bermakna kita akan lepas atau membiarkan masalah tanpa diselesaikan segera.”

Mungkin kelewatan bayaran gaji itu menyebabkan Curran Ferns dan import Thailand, Narupon Wild Putsorn mahu meninggalkan pasukan, tanpa menunggu liga bersambung semula.