Ong Kim Swee berharap Luqman Hakim Shamsudin dapat mengembangkan kariernya di Eropah pada jangka masa yang panjang, dan bukannya sekadar beberapa bulan seperti beberapa pemain Malaysia sebelum ini.
Ini selepas Selangor mencapai persetujuan dengan kelab Belgium, KV Kortrijk untuk membenarkan Luqman Hakim beraksi di Eropah.
Ong yang pernah membimbing Luqman ketika menerajui skuad B-22 negara pada Sukan SEA 2019 menganggap ia adalah satu peluang baik untuk pemain berusia 18 tahun meningkatkan kualiti permainannya.
“Apa yang penting adalah kita semua harus membantu Luqman Hakim,” katanya kepada Sinar Harian.
“Saya harap Luqman Hakim kekal dengan semangatnya sebelum ini apabila beraksi di Belgium nanti dan bukannya bersifat sementara. Dia harus fokus dengan tugasnya sebagai pemain profesional.”
Pada masa sama, Ong juga berharap Luqman tidak terlalu memikirkan mengenai spekulasi ataupun tohmahan mengenai dirinya dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya bolasepak.
“Banyak yang saya dah baca tentang berita Luqman Hakim. Sekejap pergi, sekejap tak pergi, pihak itu buat kenyataan, pihak sana buat kenyataan dan sebagainya.
“Bagi saya, perpindahan Luqman Hakim ke Belgium tak perlulah disensasikan kerana jika kita mahu dia berjaya, kita perlu berikan galakan agar dia sentiasa memperbaiki prestasinya dari masa ke masa.
“Jika kita terus meletakkan sasaran, ia tidak akan membantu dari segi prestasi, psikologi, mental Luqman Hakim jika terlalu banyak tekanan yang diberikan kepadanya.”
“Jadi paling penting kita bantu dan bimbing Luqman Hakim untuk terus berjaya dalam sukan bola sepak.”