Walaupun liga masih lagi ditangguhkan, UiTM FC tidak berhenti beraksi apabila membuat keputusan untuk menyumbang 400 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Sungai Buloh bagi kegunaan petugas barisan hadapan yang berdepan dengan wabak COVID-19 ketika ini.
Pengurus pasukan, Mustaza Ahmad mendedahkan sumbangan tersebut terdiri daripada penutup kepala, gaun isolasi dan sarung kasut.
“Kami mengharapkan sumbangan ini dapat membantu memudahkan tugas barisan hadapan negara dalam membendung wabak Covid-19.
“Sekiranya semua pihak terus bekerjasama memainkan peranan masing-masing, jangkitan virus itu mampu ditangani,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sumbangan itu dibuat dalam satu majlis ringkas antara UiTM FC yang turut diwakili kapten, Muhammad Faizal Mohd Arif dan pengarah hospital, Dr Kuldip Kaur.
UiTM FC telah banyak memberikan bantuan sepanjang tempoh PKP terutamanya membantu meringankan beban penuntut UiTM yang tidak dapat pulang ke kampung dan mengadakan program kutipan derma COVID-19.