Liga Super Malaysia Berita

Selangor sudah bersedia dengan sesi latihan bulan depan

Ketua jurulatih Selangor, B Sathiananthan mendedahkan pasukannya sudah merancang untuk mengadakan sesi latihan pada bulan depan.

Katanya, sesi latihan itu akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan dalam menangani jangkitan COVID-19 dalam kalangan pemain.

“Setiap kumpulan mungkin akan membabitkan 10 orang. Kita sudah maklumkan kepada pemain mengenai bentuk program, latihan dan sebagainya,” katanya kepada BH Sukan.

“Dalam seminggu itu akan ada tiga atau empat kali (latihan). Bila masuk Julai kita buat lebih sedikit, maknanya jika diputuskan liga boleh diteruskan seperti biasa, pemain sudah ada latihan.”

Sathia turut menerangkan sedikit sebanyak mengenai SOP yang akan digunakan Selangor apabila sesi latihan diadakan nanti.

“Pusat latihan kita ada dua padang, jadi kita boleh gunakan kawasan yang luas. Bukan sahaja satu meter, tiga meter pun boleh.

“Kita akan ikut semua SOP yang ditetapkan termasuk menggunakan pembasmi kuman, pemain tidak bergaul rapat, mengamalkan penjarakan sosial dan sebagainya. Kita juga ada satu pasukan perubatan dan mereka yang akan buat SOP untuk mengawal program ini.”