Liga Super Malaysia Berita

Farizal Harun edar barang keperluan asas kepada 120 isi rumah

Sejak didenda RM5,000 dan digantung lima perlawanan kerana menumbuk curi pemain PKNP, Al-Fateh Afandi pada musim lepas, segelintir peminat terus menganggap Farizal Harun seorang gangster.

Namun hari ini, penjaga gol Selangor berusia 34 tahun itu melakukan perkara yang tidak dilakukan seorang gangster iaitu memberi bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya tahu orang fikir saya ini gangster bila tengok cara saya main di padang. Itu cuma diri saya bila main bola,” katanya kepada The Star.

“Saya hanya mahu bantu pasukan memenangi perlawanan. Kadang-kadang agak beremosi tapi bila perlawanan tamat, saya tak simpan dendam dengan sesiapa.”

Anak kelahiran Felda Palong, Negeri Sembilan itu menganggap tempoh perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan disebabkan wabak COVID-19 adalah masanya untuk meringankan beban mereka yang dalam kesusahan.

Justeru, dia bekerjasama dengan Persatuan Belia Paroi Jaya dengan beroperasi menerusi laman Facebook untuk mengedarkan barang keperluan asas seperti telur, gula, minyak masak dan beras kepada golongan yang memerlukan di sekitar Paroi.

“Setakat ini, kami sudah menyumbang kepada 120 isi rumah dan harapnya ia dapat membantu mereka mengharungi detik sukar ketika ini.

“Kami juga berterima kasih kepada mereka yang sudi memberikan sumbangan makanan.”

Farizal turut menceritakan bagaimana dia pernah ditahan polis kerana tidak mempunyai surat kebenaran untuk mengedarkan barang keperluan asas.

“Mula-mula saya diminta pulang sebab saya tak ada surat kebenaran. Ia satu pengajaran buat saya.

“Sekarang kami ada dokumen yang diperlukan. Polis hanya melakukan tugas mereka dan kami menghormati mereka.”

Farizal menjelaskan, dia akan memberi bantuan kepada sesiapa sahaja dalam kesusahan, tidak kira kaum dan agama.

“Kita tak kira kaum atau agama bila bagi bantuan. Kita hanya bantu mereka yang memerlukan.

“Biasanya mereka yang perlukan bantuan kita kenal melalui media sosial dan ada yang dikenali daripada kawasan kejiranan.

“Saya hanya gembira dapat bantu mereka. Saya harap orang lain yang berkemampuan turut sama membantu.”