Liga Super Malaysia Berita

Kedah akhirnya akui ada masalah kewangan

Selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa Kedah mempunyai masalah kewangan serta didesak oleh peminat untuk memberitahu perkara sebenar, pihak pengurusan akhirnya mengakui perkara tersebut.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut, sebaliknya menyalahkan MFL yang menyebabkan berlakunya tunggakan gaji pemain.

“Kami memang menghadapi masalah kewangan dalam keadaan COVID-19 ini,” katanya kepada Astro Arena.

“Isunya ketika ini, MFL tidak memberi sebarang kata putus sama ada liga akan bersambung.

“Semuanya masih tergantung. Tiada perlawanan tetapi kami masih kena tanggung gaji pemain.”

Asmirul bagaimanapun memuji sikap Azmeer Yusoff yang menjana pendapatan sendiri dengan menjual ikan segar selepas pasukannya menghadapi masalah kewangan kerana penangguhan liga akibat wabak COVID-19.

“Ini yang kami mahu terapkan kepada pemain. Sebagai contoh, jika kita tidak bekerja tetapi kita dibayar berdasarkan pekerjaan.

“Semua majikan di satu dunia menghadapi masalah yang sama. Jadi saya menghargai apa yang dibuat oleh Azmeer biar menjadi contoh kepada pemain-pemain.”