Liga Super Malaysia Berita

Felda United beri sumbangan kepada barisan hadapan COVID-19

Selepas JDT, pasukan Felda United turut mengambil inisiatif sendiri dengan membuat kutipan bagi membuat sumbangan kepada barisan hadapan yang sedang berkhidmat dalam menangani wabak COVID-19 dalam kalangan warga Felda.

Pengurusan pasukan, pegawai kejurulatihan, pemain serta penaja-penaja pasukan telah memberikan sumbangan sejak minggu lalu dan kemungkinan akan dilanjutkan sehingga 7 April depan.

Setiausaha Agung Fepda United, Afizal Abu Othman berkata, kutipan sumbangan itu juga diadakan dengan kerjasama NGO dan badan-badan FELDA antaranya Koperasi Permodalan Felda (KPF), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dan banyak lagi.

“Para pemain juga teruja untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi laman Facebook rasmi Felda United.

“Keseluruhan sumbangan akan dikumpul apabila tempoh kutipan berakhir dan akan diserahkan kepada FELDA untuk diserahkan secara rasmi kepada mereka yang dinyatakan.

“Semoga dengan inisiatif sumbangan ini secara langsung dapat membantu mereka yang memerlukan.”