Dalam perkembangan terbaru, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) telah memutuskan untuk menunda Kejohanan Kelab Asia 2020 (ACC2020) ke tahun 2021.
Presiden AFF Mejar Jeneral Khiev Sameth dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat susulan penularan wabak COVID-19 bagi menjaga dan melindungi keluarga pemain dan juga komuniti.
Justeru, keputusan itu dibuat oleh anggota majlis AFF selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk jadual ketat liga tempatan di negara-negara ASEAN serta melibatkan pertandingan bertaraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Memandangkan keadaan semakin buruk, kami akan memantau rapat dan tidak akan teragak-agak untuk melakukan perubahan kepada jadual kami jika perlu,” kata Sameth.
“Menerusi setiap keputusan yang kami ambil, AFF akan sentiasa mengutamakan kesejahteraan keluarga dan komuniti bola sepak kita.
“Ini adalah masa yang sukar dan tidak pernah berlaku kepada sesiapa termasuk keluarga dan komuniti bola sepak kita,” katanya.
“Namun kita akan dapat mengharunginya bersama. Bagaimanapun, untuk mengharungi situasi ini, kita perlu memainkan peranan masing-masing.”
Empat kejohanan juga akan ditangguh ke satu tarikh lain pada tahun ini iaitu Kejohanan Wanita AFF 2020, Kejohanan Wanita AFF B-18, Kejohanan Lelaki AFF B-16 dan Kejohanan Lelaki AFF B-19.
Empat lagi pertandingan AFF bagaimanapun akan berlangsung seperti biasa.
Kejohanan Remaja Wanita Bawah 15 AFF di Indonesia akan diteruskan pada bulan September.
Tiga lagi pertandingan iaitu Kejohanan Futsal AFF, Kejohanan Kelab Futsal AFF dan Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF di Thailand akan diteruskan pada hujung tahun ini.