Liga Super Malaysia Berita

Patutkah Piala Malaysia dibatalkan?

Sebahagian besar pasukan Liga Malaysia dilaporkan bersetuju bahawa Piala Malaysia wajar dibatalkan pada musim ini.

Ini susulan wabak koronavirus yang menyebabkan liga terpaksa ditunda dan masih tidak diketahui bilakah situasi akan kembali pulih supaya liga dapat disambung semula nanti.

Arena Metro melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal mengadakan mesyuarat jarak jauh tidak lama lagi bersama semua wakil pasukan, antaranya bagi membincangkan soal jadual liga.

Ini bagi menyelesaikan masalah saingan liga yang dijangka tamat lebih lambat daripada biasa serta kontrak pemain yang berakhir pada bulan November.

Dalam keadaan yang masih tidak menentu ketika ini, membatalkan Piala Malaysia juga bukan satu perkara yang mudah, lagi-lagi apabila ia melibatkan penaja.

Telekom Malaysia merupakan penaja utama Piala Malaysia bagi musim ini.

MFL mungkin perlu membayar pampasan jika mereka membatalkan pertandingan tersebut musim ini.

Pendekatan lain yang boleh digunakan adalah menukar format pertandingan Piala Malaysia dengan mengurangkan bilangan pasukan.

Namun, rata-rata pasukan berharap dapat menyertai Piala Malaysia kerana ia membantu menjana pendapatan untuk pasukan.

Piala Malaysia masih tetap bernilai kepada semua pasukan.

MFL perlu mencari jalan terbaik untuk memastikan jadual Liga Malaysia dapat berjalan lancar dan pada masa yang sama melakukan keputusan yang adil dan tidak memberikan kesan yang tidak diingini di kemudian hari.