Liga Super Malaysia Berita

Perlis perlu bayar hutang RM500,000, tapi dalam akaun cuma ada RM46

Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Zamri Ibrahim menganggap keputusan Jawatankuasa Status FAM meminta PFA membayar tunggakan gaji kepada empat bekas pegawai termasuk potongan wajib pendapatan dan pampasan baki kontrak dengan jumlah keseluruhan RM500,000 adalah tidak adil.

Katanya, keputusan badan induk bola sepak negara itu dilihat tidak berasas dan dibuat tanpa bukti kukuh dengan pihaknya akan membuat rayuan mengenai tuntutan empat bekas pegawai PFA.

Malah, masalah kewangan PFA menyukarkan pihaknya untuk membayar tunggakan gaji pemain.

“Dalam akaun kami sebelum ini cuma ada RM46, macam mana nak bayar tunggakan gaji hampir setengah juta,” katanya kepada Arena Metro.

“Kami akan buat rayuan dan saya akan serahkan minggu depan supaya keputusan Jawatankuasa Status itu dilihat semula.

“Jawatankuasa Status tak boleh semudah itu membuat keputusan kerana kami pun tak ada bukti, betulkah mereka ini bekerja selama tiga bulan.

“Selepas itu tak bekerja lepas kami nak kena bayar baki kontrak, jadi ia tak adil bagi kami. Lagipun ini kes lama di bawah pengurusan terdahulu, tapi saya tahu PFA tetap kena bertanggungjawab cuma saya harap biar tuntutan itu berasas.

“Apapun, kami akan kemukakan rayuan dan harap FAM dapat pertimbangkan kerana PFA bukan ada duit pun.”

Sebelum ini, PFA diarah untuk melangsaikan hutang empat pegawai:

-Mohd Faizal Mohd Esahar (RM24,000 tunggakan gaji & RM120,000 pampasan baki kontrak)
-Mohd Hisham Jainudin (RM21,000 tunggakan gaji & RM55,741.95 pampasan baki kontrak)
-Ahmad Nizan Ariffin (RM21,000 tunggakan gaji & RM154,000 pampasan baki kontrak)
-Kamal Daut (RM18,000 tunggakan gaji & RM132,000 pampasan baki kontrak).

Jawatankuasa Status FAM turut mengarahkan Kelantan membayar tunggakan gaji kepada

-Bekas pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajudin sebanyak RM167,304
-Bekas pegawai, Mohd Hisham Jainudin RM11,166.

PDRM juga dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada:

-Bekas pemain skuad kebangsaan, Liew Kit Kong sebanyak RM26,000
-Bekas jurulatih, E Elavarasan sebanyak RM60,000
-Penolongg jurulatih, Wan Mustaffa Wan Ismail sebanyak RM43,000.