Liga Super Malaysia Berita

Ibu bapa Safawi Rasid luah perasaan

Sebetulnya, ibu bapa Safawi mahu anaknya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya bolasepaknya.

Salemeh Abu Bakar, 56, mendedahkan hubungan antara Safawi dan Syifa Melvin sudah diketahui sejak lapan bulan lalu.

“Tahun lalu, Syifa ada dua kali datang ke rumah,” katanya kepada Arena Metro.

“Syifa baik orangnya, tetapi mak cik tak tahu dia pelakon kerana tak pernah tengok drama lakonannya sebelum ini.

“Tiga minggu lalu, Awi ada hubungi mak cik untuk bertanya khabar, pada masa sama dia memaklumkan ingin berkahwin.

“Namun, mak cik cakap, bukan mak tak restu, cuma mahu Awi tumpu kerjaya dulu, simpan duit dan selesaikan beberapa cita-cita yang diimpikan selama ini.

“Awi perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada majikannya termasuk negaranya lebih dahulu.”

Tambahnya, dia juga mahu Safawi menyelesaikan beberapa perkara termasuk menyara dua lagi adiknya yang masih sekolah.

“Awi janji nak besarkan pusat mengaji al-Quran yang didirikan di Rantau Abang dan membina rumah orang tua.

“Sebaiknya dia laksanakan impiannya dulu baru fikir soal kahwin. Saya tak mampu menolak dan berserah kerana soal jodoh, ajal, maut itu semua terletak di tangan Allah.”

Bapanya, Rasid Sulong, 66, berharap Safawi tidak melakukan keputusan yang salah dalam hidupnya.

“Lupa dulu soal jodoh, Awi masih muda kumpul duit main bola, kita tak tahu kerjaya akan bertahan sampai bila.

“Saya tak mahu dia jadi seperti saya, kehidupan saya dan isteri sangat susah membesarkan 13 anak dengan gaji RM350 sebagai penjawat awam.

“Saya terpaksa buat kerja sambilan, Awi tahu kerana saya selalu mengajaknya membantu, sebab itu saya selalu berpesan padanya kita susah tak akan ada orang yang sudi bantu.”