Liga Super Malaysia Berita

Corbin Ong akui lega Matthew Davies sertai JDT

Pemain Johor Darul Ta’zim FC, La’vere Corbin Ong mengakui lega apabila mendapat tahu Matthew Davies menyertai JDT pada musim ini.

Katanya, Matthew memberikan dia kesukaran untuk melepasi benteng pertahanan setiap kali berdepan dengan Pahang.

“Kita tahu ketika Matt beraksi untuk Pahang agak sukar untuk melepasi pemain itu yang beraksi konsisten di posisi bek kanan,” katanya kepada Arena Metro.

“Saya sendiri pernah mengalami detik kesukaran itu. Kini Matt bersama JDT dan saya lihat dia bersungguh-sungguh untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

“S. Kunanlan juga memiliki `aura’ tersendiri dan JDT amat beruntung untuk memiliki dia dan Matt tatkala kita tahu kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq memakan masa yang panjang untuk pulih sepenuhnya.

“Pengalaman saya beraksi bersamanya ketika menyertai skuad kebangsaan beri impak positif dan kami memahami antara satu sama lain corak permainan masing-masing. Ia memudahkan lagi apabila kami turun beraksi dalam skuad JDT.”

Piala Sumbangsih dan Liga Super

Menjelang perlawanan Piala Sumbangsih 2020 menentang Kedah, Corbin hanya ingin menumpukan kepada cara pemainan pasukan dan berharap dapat meraih kemenangan di stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim.

“Kami tidak mahu memikirkan pasukan Kedah kerana kami memberi sepenuh tumpuan membuat persiapan aspek permainan dan cara bagaimana untuk memenangi perlawanan dan itu yang kami mahu pamerkan nanti.

“Kita tahu pencapaian JDT sepanjang beraksi di Stadium Larkin membanggakan dan kini di stadium baharu kami mahu teruskan momentum itu dan mungkin lebih baik lagi. Saya berhadap sokongan padu penyokong akan menyemarakkan lagi semangat kami apabila beraksi di stadium baharu.”