Malaysia Futsal

Futsal: Pengalaman berguna Pahang Rangers di Sultan Ahmad International Cup 2020

Pasukan tuan rumah Pahang Rangers menamatkan kejohanan di tempat keempat setelah tewas 4-5 kepada pasukan dari Jepun, FC Nakai.

Namun jurulatih Gerard Casas tidak terlalu bimbang dengan keputusan perlawanan sebaliknya hanya mengharapkan para pemain menunjukkan kualiti masing-masing dalam kejohanan tersebut.

“Tiada siapa suka untuk kalah, begitu juga saya, tetapi ini adalah kejohanan pra-musim, kita sedang mempersiapkan pasukan untuk MPFL (Malaysian Premier Futsal League) yang bermula bulan depan jadi keputusan perlawanan bukan satu isu besar.

“Sebaliknya saya mahu pemain-pemain menunjukkan kualiti mereka, setiap pemain mendapat peluang dan saya gembira dengan apa yang disaksikan dalam dua perlawanan ini.”

Dalam perlawanan akhir, Kelab futsal terkemuka Thailand, PTT Chonburi Bluewave muncul juara Sultan Ahmad Shah International Cup 2020 selepas menewaskan pasukan futsal Jepun, Athletic Fuchu Tachikawa 4-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan semalam.

Juara Kejohanan Futsal AFF 2019 itu bangkit daripada ketinggalan di separuh masa pertama dengan menjaringkan tiga gol pantas pada penghujung permainan untuk memastikan kemenangan memihak kepada mereka.

Chonburi mara ke final selepas menewaskan FC Nakai 6-1 dalam aksi separuh akhir.

Dalam perlawanan akhir, Chonburi mendahului 1-0 menerusi rembatan Vitor Fernando Dos Santos namun Athletic Fuchu kembali menyamakan kedudukan sebelum Arai Yusei meletakkan pasukan F-League itu mendahului 2-1 di separuh masa pertama.

Chonburi bagaimanapun bangkit pada lima minit terakhir di separuh masa kedua apabila berjaya menjaringkan gol menerusi Supakorn Sangom, Warut Wangsama-Aeo dan Ronnachai Jungwoonsuk.

Ketua jurulatih Chonburi, Carlos Cesar Nunex Gago menganggap kemenangan tersebut memberi motivasi untuk mengharungi musim 2020.

“Kami mengharungi dua perlawanan yang sukar di sini dan gembira untuk mengakhirinya selaku juara.

“Kredit kepada pemain-pemain yang tidak patah semangat dan menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mendapatkan jaringan.

“Ini adalah trofi pertama untuk musim ini dan saya berharap kejayaan di sini menjadi motivasi kepada para pemain untuk mengorak langkah lebih cemerlang pada tahun ini.”

Kejayaan Chonburi itu bertambah manis apabila Muhammad Osamanmusa muncul penjaring terbanyak kejohanan manakala penjaga gol Arut Senbat pula dinobatkan Pemain Paling Bernilai.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut hadir adalah Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.