Selepas kehilangan beberapa pemain utama, Pahang akhirnya berjaya membawa masuk pemain baharu bagi saingan musim 2020.
Namun jurulatih Dollah Salleh bimbang kerana beliau kesuntukan masa untuk menyusun pemain yang sesuai dalam kesebelasan utama.
Setakat ini, Pahang telah menandatangani tiga import baharu iaitu Ivan Carlos, Adam Reed dan Khalil Khamis.
Dari segi pemain tempatan, mereka membawa masuk Sharbinee Allawee dan R. Gopinathan selain dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu S. Kumaahran dan Fazly Mazlan.
“Masalahnya adalah kesebelasan utama. Saya masih belum bina pasukan,” katanya kepada The Star.
“Kita ada buat perlawanan persahabatan tapi ada beberapa pemain baharu yang baru sertai pasukan. Jadi kesebelasan utama pasti akan berubah.
“Pemain import pun baru sertai pasukan, jadi mereka masih belum berada di tahap kecergasan terbaik. Mereka perlukan masa dan ia sepatutnya dilakukan dalam perlawanan persahabatan.
“Kita ada dua lagi perlawanan sebelum liga bermula.”
Bagaimanapun, Dollah berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh import baharu Ivan Carlos dan Adam Reed.
“Saya belum dapat tengok Khalil masa latihan sebab dia baru sertai pasukan tapi Ivan dengan Adam nampaknya berada di tahap terbaik.
“Ivan sepatutnya tidak ada masalah beraksi di Malaysia memandangkan beliau pernah beraksi dengan Persija di Liga Indonesia.”