Berita AFC Champions League

ACL2020: Andres Iniesta hebat, tapi dia bukan satu-satunya ancaman JDT

Jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui pemain Vissel Kobe, Andres Iniesta merupakan pemain yang cukup digeruni untuk dihadapi pada perlawanan pembukaan AFC Champions League petang ini.

Namun, pemenang Piala Dunia 2010 dan Euro 2008 dan 2012 itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk JDT tidak tampil dengan aksi terbaik.

Sebaliknya, Mora melihat bagaimana untuk mengatasi pasukan Vissel yang dibentuk untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat dan mampu bersaing di peringkat Asia.

“Kami sedar di mana tahap wakil Liga Jepun dalam pertandingan di peringkat Asia dan dunia, kami semua memandang tinggi kepada mereka,” katanya dalam sidang media.

“Vissel baru sahaja membuat penampilan pertama ACL dan kami pula sudah masuk tahun kedua. Kami berdua masih baharu dalam kejohanan ini jadi ia akan jadi satu perlawanan yang menarik.

“Kami perlu naikkan tahap permainan, Vissel berada pada prestasi terbaik sejak beberapa tahun lepas dengan membawa masuk pemain seperti Iniesta, kami hanya sebuah pasukan kerdil, masih belajar tapi kami akan memberikan aksi yang terbaik.”

Walaupun Mora mengakui berdepan kesukaran untuk mengekang pemain sehebat Iniesta, beliau berharap JDT dapat memberi kejutan kepada Vissel Kobe.

“Mustahil untuk mengawal pemain seperti Iniesta, namun beliau kini berada di penghujung karier bolasepaknya, kami tahu beliau boleh menghasilkan gol sekelip mata tapi jika kami boleh mengawal dengan baik di bahagian pertahanan, kami bukan sahaja boleh menghalang dia daripada menjaringkan gol, tetapi juga Vissel secara keseluruhan.”