Melaka United bakal membawa masuk pemain import kelima yang akan mengisi slot pemain ASEAN bagi saingan musim 2020, selepas enggan melakukannya pada bulan Disember yang lalu.
Menurut laporan dari Melaka Kini, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li melakukan pusingan U apabila berminat dengan tiga pemain import ketika mengadakan jelajah pra-musim di Bandung, Indonesia.
Laporan itu menyebut dua daripadanya merupakan pemain naturalisasi Indonesia, manakala seorang lagi merupakan pemain naturalisasi dari Thailand.
“Pada mulanya saya tidak melihat kuota pemain kelima ini sebagai perkara penting kerana kita berdepan dengan kekangan bajet,” kata Damian.
“Kita merasakan ciri-ciri pemain kuota itu sudah dipenuhi Safiq Rahim dan beberapa lagi pemain dan tiada pemain yang mampu beraksi sehebat Patrick Reichelt selepas kita kehilangannya.
“Namun, dalam kunjungan kita ke Bandung tempoh hari bagi aksi pra-musim, terus terang ia membuka mata saya.
Walaubagaimanapun, Damian enggan mengulas lebih lanjut posisi mana yang akan diisi.
“Boleh dikatakan hampir pasti, cuma kita akan melihat siapa calon yang lebih sesuai.”
Setakat ini, Melaka memiliki empat pemain import iaitu Uche Agba di bahagian serangan manakala Romel Morales dan Sony Norde di bahagian tengah serta Jang Suk-won di bahagian pertahanan.
Komen Damian terhadap kehilangan Reichelt menguatkan lagi kebarangkalian untuk Melaka menandatangani seorang lagi penyerang import.