Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Tua tidak semestinya Matyo tak boleh main di Thailand

B. Sathiananthan menganggap Norshahrul Idlan Talaha masih merupakan penyerang berbisa walaupun berhijrah ke kelab Thailand, BG Pathum United di usia 33 tahun.

Jurulatih berusia 61 tahun itu pernah melatih Matyo ketika beliau mengendalikan skuad B-23 pada 2006 hingga 2008.

Malah, Sathia juga merupakan jurulatih yang memberi peluang bermain kepada Matyo yang perlu bersaing dengan Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Rakhli ketika mengendalikan Kelantan pada 2009 hingga 2010, sehingga beliau menjadi penyerang berbisa dan membantu pasukannya memenangi treble pada 2012 serta Piala AFF Suzuki 2010 bersama skuad kebangsaan.

WELCOME NORSHAHRUL IDLAN

Posted by BG Pathum United on Thursday, 16 January 2020

 

“Saya kenal Matyo ketika dia berusia 18 tahun. Dia seorang yang sangat profesional. Matyo tidak pernah ada masalah dalam sesi latihan kerana beliau sentiasa memberikan 100 peratus.

“Hanya kerana dia dah nak masuk 34 tahun, tak semestinya dia dah tak boleh main, dia masih lagi seorang pemain yang bagus.

“Pada saya, Matyo masih boleh main dalam dua tiga tahun lagi.”

Sathia juga mahu pemain tempatan di liga Malaysia dapat mengikut jejak langkah Matyo untuk bersaing dengan pemain lain di luar negara.

“Bagus dia pergi ke Thailand. Dia tunjukkan usia tidak penting apabila bermain di luar negara. Dia menjadi contoh kepada semua pemain lain.

“Saya harap pemain kita tidak terlalu selesa bermain di Malaysia. Pergilah ke Thailand, Vietnam, Jepun, cuba main di liga luar negara.”