Liga Premier Malaysia Berita

Fernando Rodriguez, Kei Hirose sertai JDTII

Johor Darul Takzim mengumumkan Fernando Rodriguez dan Kei Hirose sebagai pemain import baharu JDTII bagi musim 2020.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards berkata, kualiti yang ada kedua-dua pemain tersebut membolehkan mereka beraksi untuk pasukan utama dan pasukan feeder.

“Musim baharu yang bermula penghujung Februari ini pasti menarik kerana kita boleh menukar mana-mana pemain untuk menyertai skuad utama dari pasukan JDTII,” katanya kepada Arena Metro.

“Dengan jadual yang padat tidak timbul lagi masalah untuk melakukan perubahan dikalangan pemain.

“Malah kehadiran Rodriguez dan Hirose juga dapat membantu meningkatkan lagi kualiti pemain-pemain muda JDT yang pada musim ini kita memberi fokus untuk menurunkan barisan pemain muda di bawah kendalian jurulatih baharu, Rafael Gil Sanchez.”

Fernando Rodriguez merupakan pemenang kasut emas musim lepas apabila menjaringkan 21 gol untuk Kedah namun pemain berusia 32 tahun itu tidak menerima kontrak baharu, walaupun membantu pasukan tersebut menjuarai Piala FA.

“Memang pelik tapi saya terima kenyataan mungkin itu cara mereka dan saya amat gembira apabila mengikat kontrak selama dua tahun bersama JDT II dan berazam untuk membantu pasukan yang dibarisi pemain muda menyerlah pada musim ini,” kata Rodriguez.

Hirose yang akan beraksi di Malaysia buat pertama kali dalam kariernya begitu teruja apabila dapat menyertai JDT.

“Saya gemar beraksi bersama pemain muda malah ketika latihan pertamam bersama JDTII, saya lihat mereka begitu pantas mengawal bola.

Hirose juga berharap dapat bertemu kelab dari negara asalnya seperti Vissel Kobe apabila AFC Champions League bermula awal bulan depan.

“Jika diberi pilihan dan tersenarai dalam skuad utama pada saingan Liga Juara-Juara Asia, sudah tentu saya mahukan kalahkan kelab Jepun.”