Kolum Eropah

Arteta mahu Xhaka di Arsenal

Ketua jurulatih baru Arsenal, Mikel Arteta memberi bayangan bahawa pentingnya khidmat pemain tengah Switzerland, Granit Xhaka kepada pasukan. Ini juga bermakna masa depan pemain itu berada dalam keadaan yang baik.

Arteta turut mendedahkan mengenai minat terhadap pemain tersebut sejurus selepas dilantik menjadi pembantu jurulatih kepada Pep Guardiola di Manchester City. 

Masa depan Granit Xhaka dikatakan berada dihujung tanduk ekoran tindakannya yang gagal mengawal emosi ketika dikeluarkan pada aksi Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace pada hujung Oktober lalu. Reaksi yang ditunjukkan Xhaka ternyata menaikkan kemarahan para penyokong tatkala pasukan berada dalam keadaan yang kurang stabil.

‘’Selepas saya menyertai Manchester City sebagai pembantu jurulatih, nama dia (Xhaka) berada dalam senarai untuk dibawa masuk. Itu menggambarkan betapa saya menggemarinya.’’

Arteta juga menegaskan Xhaka sedang melalui fasa untuk mengembangkan bakatnya dan berharap para penyokong dapat memberi sokongan positif. 

Dalam pada itu, pasukan dari Jerman iaitu Hertha Berlin telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut pada Januari depan. Namun, setelah pendedahan dan kenyataan yang diberikan oleh Arteta, jelas masa depan yang cerah menanti Xhaka bersama Arsenal.

Xhaka yang merupakan bekas ketua pasukan Arsenal pada awal musim telah dilucutkan jawatan tersebut. Posisi ketua pasukan The Gunners kini dipegang oleh penyerang utama, Pierre Emerick Aubameyang.

Terdahulu, Xhaka antara pemain yang diturunkan secara penuh pada saingan liga menentang Everton hujung minggu lalu. Pada malam ini, Arteta akan memulakan perlawanan pertama sebagai pengendali utama Arsenal menentang Bournemouth. Pada awal bulan Oktober, Arsenal menewaskan Bournemouth 1-0 hasil jaringan David Luiz.