Liga Super Malaysia Berita

Selangor sasar layak ACL 2021

Selangor sedar akan cabaran melayakkan diri ke AFC Champions League tapi B. Sathianathan tidak menganggapnya sebagai satu perkara yang mustahil.

“Memandangkan AFC ada membuka ruang untuk pasukan negara kita, jadi sasaran kita adalah untuk mencapai matlamat yang utama dengan melayakkan diri pada 2021,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Selangor berdepan cabaran besar apabila perlu mendahului JDT dan Kedah jika ingin layak ke ACL.

Dengan cabaran yang perlu dihadapi, persiapan musim baharu berjalan lancar dengan ketika ini.

“Semua pemain sudah menjalani latihan cuma Syahmi Safari belum kerana dia sudah terlibat dalam SEA Games sebelum ini jadi saya memutuskan untuk dia melaporkan diri pada bulan Januari nanti.”

“Komitmen yang tinggi juga ditunjukkan seorang pemain import baharu dari Singapura iaitu Safuwan Baharudin, pemain import lain masih kekal cuma Rufino Segovia mengalami kecederaan pada musim lepas dan dia akan kembali menjalani latihan.”

Selain Safuwan, pemain baharu seperti Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan, bekas pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad, Rodney Celvin Akwensivie serta Tauffiq Ar Rasyid turut melaporkan diri.

Selangor yang menamatkan liga di tempat ketiga musim lepas, bercita-cita tinggi untuk meraih piala pada tahun depan.