Malaysia Berita

Harimau Malaya bakal bertemu saudara Palestin

FAM mengesahkan bahawa mereka telah menghantar permohonan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan negara-negara Asia Barat iaitu Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Oman dan Palestin.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata pertemuan dengan negara-negara Arab akan dapat mempersiapkan anak buah Tan Cheng Hoe apabila bertemu UAE pada 26 Mac nanti.

Setakat ini, Palestin sudah menyatakan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Memang kita tak nafikan negara ini rankingnya lebih baik daripada kita. Negara mana yang akan dipilih, bagi saya ia akan dapat memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk menguji pasukan kita,” katanya kepada Arena Metro.

“Ia peluang Cheng Hoe mencuba dan mencari ramuan terbaik sebelum berdepan perlawanan sebenar di mana UAE ketika ini berada pada ranking lebih kurang dengan calon untuk aksi persahabatan itu.

“Kita secara terbuka akan beri ruang seluas-luasnya kepada Cheng Hoe untuk menambah baik pasukan ini. Ia kerana aksi dengan UAE ini terlalu penting, kita tidak boleh kehilangan mata dengan UAE dan harus menang bertemu Vietnam di tempat kita nanti.”

Skuad Harimau Malaya kini berada di tangga kedua Kumpulan G selepas mencatat tiga kemenangan dengan mengumpul sembilan mata.

Rekod Palestin dalam kelayakan Piala Dunia 2022/2023 tidak berapa baik apabila hanya menang sekali, seri sekali dan kalah tiga kali dalam kumpulan D dengan mengumpul empat mata.