Malaysia Berita

Kuda tua Kuala Lumpur masih berbisa

Pasukan Kuala Lumpur bakal dibarisi sebilangan besar pemain veteran pada musim depan, namun perkara itu tidak menghalang mereka daripada mencapai matlamat untuk kembali ke Liga Super.

Malah Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa menyifatkan kemasukan dua pemain berpengalaman seperti Shukor Adan dan S. Subramaniam dilihat mampu mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.

“Saya lihat tidak ada masalah meletakkan kepercayaan kepada pemain sudah berusia kerana mereka sudah membuktikan kemampuan masing-masing ketika beraksi bersama pasukan sebelum ini.

“Keputusan diambil berdasarkan persetujuan banyak pihak dan pengalaman yang ada pada mereka turut boleh dimanfaatkan pemain muda nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Selain Shukor dan Subramaniam, KL turut menandatangani Ezrie Shafizie yang sudah berusia 33 tahun dan Fakhrul Aiman Sidid yang berusia 30 tahun selain menaruh harapan kepada kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang mencecah 38 tahun.

Namun KL tetap menandatangani pemain yang lebih muda seperti Akram Mahinan, Fandi Othman, Qayyum Marjoni Sabil, Shafiq Shaharudin dan Sean Gan Giannelli.