Liga Super Malaysia Kolum

Misi Nidzam Adzha mengembalikan kegemilangan Kuala Lumpur

Ketika Nidzam Adzha Yusoff berada di Melaka United sebagai pembantu jurulatih kepada Zainal Abidin, beliau menerima satu panggilan. Panggilan itu membuatkan beliau mahu membantu Kuala Lumpur kembali ke Liga Super pada musim depan.

Kehadiran Nidzam menunjukkan KL cukup serius dengan masa depannya, selepas jurulatih berusia 51 tahun itu mengambil alih Kedah daripada Tan Cheng Hoe dan memenangi Piala FA pada 2017.

Menurut Sportimes.my, Nidzam mahu kegagalan untuk kekal di Liga Super dilupakan dan mengumpul semula kekuatan untuk kembali ke liga tertinggi di negara ini.

“Selepas ditawarkan tempat saya melihat ini sebagai satu cabaran yang mana kita tahu presiden KLFA mensasarkan kita kembali ke Liga Super pada 2021.

“Dengan 80 peratus pasukan sekarang terdiri daripada pemain baharu, saya rasa kita lupakan musim yang lepas dan kita bina semula satu pasukan yang mampu naik liga,” kata Nidzam kepada Sportimes.

Selepas KL tersingkir ke Liga Perdana, mereka hanya mengekalkan tujuh orang pemain dan selebihnya akan diisi oleh pemain mengikut kehendak Nidzam.

Antara pemain yang dikekalkan adalah Paulo Josue, Zhafri Yahya, Hafiz Johar, Alif Samsudin dan Shafiq Shaharudin.

Hubungan Nidzam dengan pemain Melaka cukup penting apabila beliau berjaya membawa masuk pemain veteran Shukor Adan bagi memantapkan lagi pasukan KL.

Shukor juga bakal berganding bahu semula dengan Indra Putra Mahayuddin, yang melanjutkan kontrak setahun lagi, selepas kali terakhir bermain bersama di Felda United pada 2015.

“Saya memanggil Shukor walaupun dia masih mampu bermain di Liga Super, yang penting adalah pengalaman dan pemimpinannya di padang.”

Shukor akan dibantu sebilangan besar barisan pertahanan baharu iaitu S. Subaramaniam, Qayyum Marjoni Sabil, Nik Shahrul Azim dan Fandi Othman.

Di gawang gol, Khatul Anuar Jalil kembali selepas dipinjamkan semusim kepada UKM FC dan akan disertai, Zamir Selamat yang pernah beraksi untuk Piala Presiden KL pada 2007.

Di bahagian tengah, KL akan dikuatkan oleh pemain baharu iaitu Akram Mahinan, Ahmad Ezrie Shafizie Sazali, Fakrul Aiman Sidid serta Sean Gan Giannelli.

Nidzam juga sedang berusaha untuk membawa masuk pemain import pertahanan dan penyerang dan salah satunya adalah import Melaka Davy Claude Angan.

“Saya akan menilai pemain import dalam tempoh satu minggu ini manakala pemain tempatan saya rasa ada adunan yang cukup. Ramai pemain-pemain ini pernah bermain di Liga Super jadi kalau kita lihat kualiti pemain yang ada ini kita mampu untuk mencapai sasaran.

“Ramai pemain sudah tidak beraksi selama dua bulan selepas tamat Piala Malaysia, terutamanya yang tak layak ke suku akhir. Jadi kami perlu bina semula kekuatan dan stamina, biar kami bersedia dulu,” kata Nidzam.

“Pemain-pemain yang saya kenal dan telah lihat di Liga Super saya yakin boleh cari keserasian secepat mungkin.”

Persediaan yang pantas dan cukup rapi oleh Nidzam dilihat mampu mengubah nasib Kuala Lumpur.

Ditambah dengan sokongan penuh daripada Menteri Wilayah, Khalid Samad, Kuala Lumpur mungkin dapat kembali ke Liga Super tanpa sebarang masalah di hujung musim depan.