Liga Super Malaysia Kolum

Masa depan Selangor kini dalam tangan Michael Feichtenbeiner

Kira-kira 14 tahun selepas dipecat oleh MPPJ FC, Michael Feichtenbeiner mungkin tidak menyangka akan kembali ke Malaysia.

Jurulatih Jerman itu pernah menyelamatkan pasukan Petaling Jaya itu daripada tersingkir pada musim 2005 namun ketika mendahului Liga Super 2006, beliau secara tiba-tiba dipecat MPPJ.

Beberapa bulan kemudian, MPPJ membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada Liga Super, menyebabkan mereka didenda dan digantung daripada beraksi dalam semua pertandingan.

Feichtenbeiner pula meneruskan kehidupannya. Cuma beliau bukan lagi seorang jurulatih yang dipecat MPPJ, beliau kini dilantik pengarah teknikal di Selangor.

Sejak 2016, beliau telah bertanggungjawab mengetengahkan bakat dalam skuad Jerman Bawah 15 tahun.

Pengalaman tersebut menarik perhatian FAS selain kriteria liga yang mewajibkan semua pasukan mempunyai pengarah teknikal untuk menyeragamkan bakat di semua peringkat umur, dari peringkat akar umbi hingga ke senior.

“Pengalamannya dalam pembangunan bola sepak sangat luas,” kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

“Dia pernah terlibat dengan pasukan Stuttgart, Salzburg dan skuad kebangsaan Jerman.

“Dia bekerja dengan amat rapat bersama Persatuan Bola Sepak Jerman dan ketua jurulatih, Joachim Low. Jadi, itulah perkara-perkara yang kami lihat dia mampu bawa ke dalam pasukan Selangor.

Feichtenbeiner juga akan melatih pasukan Selangor II yang dijangka beraksi tanpa khidmat pemain import.

Johan menjelaskan, Selangor II akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk membuahkan hasil kepada skuad senior.

“Selepas dua tahun, kita akan dapat lihat satu sistem yang digunakan pasukan Selangor daripada peringkat paling rendah hingga ke peringkat senior.

“Itulah yang kami mahu ciptakan. Ia mungkin memakan masa tetapi kami yakin ia merupakan jalan yang tepat dan dia merupakan individu yang tepat untuk mencapai sasaran itu.”

Kehadiran Feichtenbeiner yang mengendalikan pembangunan pemain di peringkat akar umbi dianggap positif, malah Selangor akan dapat melahirkan pemain yang jauh lebih berkualiti apabila bermain di liga kompetitif, berbanding bersaing di Piala Presiden.