Kolum Eropah

Young dedah dua pasukan yang cuba dapatkan khidmatnya

Pemain berpengalaman Manchester United, Ashley Young telah mendedahkan cubaan dua pasukan dalam Liga Perdana Inggeris yang cuba untuk mendapatkan khidmatnya pada lapan tahun lepas.

Young mula menyertai United dari Aston Villa pada 2011 mengakui menerima tawaran daripada Manchester City dan Liverpool. Young yang mempamerkan aksi cemerlang bersama Aston Villa telah menjadi rebutan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 34 tahun itu turut berkata segalanya akan berubah jika pilihan destinasinya bukan Manchester United.

Sepanjang lapan tahun berkhidmat bersama The Red Devils, Young telah merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga, dan Liga Eropah. 

Antara sebab utama United menjadi pilihan adalah sejarah kelab tersendiri yang kaya dengan pelbagai kejuaraan. 

‘Sejarah pasukan, pemain yang pernah beraksi, dan apa yang telah mereka kecapi. Bagi saya, inilah tempat yang saya mahukan’, katanya lagi.

Bekas tonggak antarabangsa England ini juga memuji aura yang dimiliki oleh Sir Alex Ferguson.

‘Saya bertemu dengannya (Sir Alex Ferguson) di London. Ianya merupakan perjumpaan selama dua jam. Kami hanya berbicara mengenai bola sepak selama 10 minit dan selebihnya berbual santai’, tambahnya lagi.