Norshahrul Idlan Talaha dilaporkan telah meninggalkan Pahang selepas dua musim bersama pasukan tersebut.
Menurut laporan akhbar tempatan, pengurusan Pahang membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak baharu kepada pemain kebangsaan berusia 33 tahun.
Mengikut laporan tersebut, skuad Tok Gajah dipercayai mahu melakukan rombakan besar-besaran bagi membentuk pasukan baharu selepas gagal meraih sebarang piala pada tahun ini.
Justeru, beberapa pemain turut dilepaskan iaitu Zubir Azmi, R. Kogileswaran, Salomon Raj, Afif Amiruddin serta dua penjaga gol Remezey Che Ros dan Wafieyuddin Shamsudin.
“Pahang kini dalam proses pembentukan pasukan termasuk berusaha menyenaraikan pemain baru untuk memberi saingan kepada lawan.
“Segalanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat termasuk pemain import selepas tiga daripada lima import tidak lagi bersama Pahang musim depan,” menurut sumber.
Selain itu, tiga pemain import turut dilepaskan iaitu Safuwan Baharudin, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi.
Namun menurut sumber itu lagi, status Dickson Nwakaeme dan Herold Goulon masih belum diketahui.