Kedah mempunyai peluang yang cerah untuk layak ke AFC Champions League bagi musim 2020, tetapi ia tidaklah semudah yang disangkakan.
Selaku juara bertahan Piala FA, Kedah perlu melalui pusingan kelayakan kedua, bertemu juara Liga Hong Kong, Tai Po FC pada 21 Januari.
Kebarangkalian untuk Kedah layak ke pusingan seterusnya adalah tinggi tetapi cabaran sebenar adalah pusingan playoff yang akan mempertemukan FC Seoul pada 28 Januari yang menamatkan musim di tempat ketiga di saingan K-League tahun ini.
Pasukan Korea itu sebenarnya telah gagal melayakkan diri ke AFC Champions League dua kali berturut-turut.
Kali terakhir mereka layak adalah pada 2017, itupun mereka gagal pusingan seterusnya dan sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Kedah juga mempunyai sejarah tersendiri, meskipun ia satu sejarah yang sering dilupakan.
Mereka pernah bersaing di AFC Champions League pada 1995, namun ketika itu pertandingan itu bernama Asian Club Championship.
Kedah bagaimanapun tersingkir seawal pusingan pertama kepada kelab Korea Selatan, Ilhwa Chunma.
Ilhwa Chunma pula ketika itu mengakhiri saingan di tempat keempat selepas kelab Thailand, Thai Farmers Bank merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.
Jika diperhatikan kekuatan FC Seoul dan rekod sebelumnya, mungkin Aidil Sharin serta anak buahnya tidak perlu berasa gentar.
Dengan kemasukan dua penyerang import berkualiti Kipre Tchetche dan Kpah Sherman serta kehadiran Irfan Zakaria yang boleh beraksi di bahagian tengah dan bahagian pertahanan, Kedah mempunyai peluang yang lebih kurang sama.
Mereka hanya perlu menandatangani pemain tengah yang berkaliber, kerana setakat ini mereka bergantung kepada Baddrol Bakhtiar, David Rowley dan Fadzrul Danel.
Namun, apa yang paling positif ialah Kedah mengambil serius terhadap saingan ACL2020, sesuatu yang hanya dilakukan oleh JDT ketika ini.
Jika layak, ia satu pendedahan bermakna buat pasukan Kedah, untuk melihat sama ada mereka mampu untuk bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi lebih penting di peringkat Asia.
Malah, kehadiran Kedah dapat membantu menaikkan ranking liga dan secara tidak langsung memberi peluang kepada pemain tempatan untuk dipilih untuk skuad kebangsaan.
Tiada lagi jaguh kampung, sasarannya adalah jaguh Asia.