Gandingan duo penyerang berbisa Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez berjaya menghidupkan kembali peluang buat Inter Milan selepas menumbangkan Slavia Praha 3-1 dalam aksi saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Antonio Conte yang bertandang ke Stadium Sinobo bermula garang apabila memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-19 menerusi Lautaro Martinez yang mudah menyempurnakan hantaran lintang Romelu Lukaku. Pasukan tuan rumah tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Tomas Soucek.
GOAL! Slavia Prague 1-3 Inter
Lautaro Martinez scores his second from another Lukaku assist.#SLPINT #UCL pic.twitter.com/IVg9XYNxyu
— GOAL (@goal) November 27, 2019
Kesilapan barisan pertahanan Slavia Praha mengundang padah apabila dihukum oleh Lukaku yang mudah menewaskan penjaga gawang, Ondrej Kolar. Penyerang antarabangsa Belgium itu sekali lagi memainkan watak penting apabila membuat satu umpanan cantik untuk disudahkan oleh Lautaro Martinez.
Kemenangan ini bermakna Inter berkongsi tujuh mata bersama Borussia Dortmund yang tewas 3-1 keatas Barcelona. Dengan berbaki satu perlawanan, Inter perlu menang keatas Barcelona dalam aksi terakhir kumpulan F yang dijadualkan pada awal Disember depan.
Prestasi semasa Inter dalam liga domestik boleh dikatakan berada dalam keadaan yang cemerlang setelah mencatat empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir dan kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Juventus.
Aksi luar biasa pemain yang baru dibawa masuk dari Manchester United, Romelu Lukaku ternyata banyak membantu pasukan. Setakat ini, Lukaku telah menjaringkan 10 gol dalam saingan Serie A Itali. Malah, gandingan Lukaku bersama Martinez di bahagian serangan pasukan juga menjadi igauan buat semua pasukan lawan. Martinez yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona bagi menggantikan Luis Suarez telah menyumbang enam gol dan satu bantuan gol dalam saingan liga domestik.